Header Ads

Piala Dunia!! Perancis Menang 1-0 dengan Peru


http://newdwest.blogspot.com/2018/06/piala-dunia-perancis-menang-1-0-dengan.html

SEPERTI diramalkan banyak pihak, Perancis berjaya meloloskan diri ke pusingan kedua Piala Dunia kali ini hasil jaringan tunggal Kylian Mbappe pada minit ke-34 untuk mengatasi Peru.

Bagaimanapun, Perancis tidak melakukannya dengan mudah apabila hampir keseluruhan 90 minit permainan menyaksikan Peru memberi asakan bertali arus ke kubu Perancis.

Anak buah Deschamps ternyata sukar untuk mengikut rentak permainan laju ditampilkan Peru sehingga melanggar tradisi permainan menyerang yang sinonim dengan Perancis. Juara Dunia 1998 itu lebih banyak bertahan daripada menyerang, pegangan bola juga dikuasai Peru.

Perancis hanya bergantung kepada serangan balas kilat sepanjang permainan. Gol jaringan Mbappe (yang pertama baginya di Piala Dunia) juga hasil serangan balas kilat.

Satu aspek yang wajar dipuji pasukan Perancis pada perlawanan ini ialah mereka menyerlahkan sisi pertahanan.

Meskipun Hernandez ada kalanya ‘bocor’ dan gagal menjejak larian pemain sayap Peru, namun gandingan Pavard-Varane-Umtiti- Hernandez secara keseluruhannya bermain dengan baik, kalau pun tidak cemerlang.

Pavard yang kurang dikenali sebelum kejohanan menampilkan kekuatannya dalam pertahanan, walaupun bek kanan itu nampak canggung ketika membuat ‘overlap’ dan membantu serangan (satu aspek yang perlu diberi perhatian).

Jika diukur prestasi pasukan Perancis secara keseluruhannya pada perlawanan ini, banyak yang perlu diperbaiki terutama bahagian tengah.

Hanya Kante yang menyerlah dalam dua perlawanan pasukan itu. Pogba ‘below par’ manakala Matuidi dilihat sukar untuk mencipta sesuatu untuk pasukan. Tolisso pula kurang kimia dengan Kante dan Pogba.

Denmark mungkin menjadi ujian sebenar bagi Perancis selepas ini. Bagaimanapun, Deschamps dijangka menurunkan kesebelasan simpanan bagi memberi ruang kepada semua pemainnya merasai atmosfera Piala Dunia.

Aspek serangan menyaksikan tambah nilai berbanding sebelumnya. Meskipun bergantung kepada serangan balas kilat, tetapi gandingan Giroud, Griezman dan Mbappe telah mengkucar-kacirkan pertahanan Peru, yang perlu diperbaiki ialah ketajaman menyudahkan peluang.

Bagi Peru pula, mereka menjadi antara pasukan terawal tersingkir daripada Piala Dunia kali ini. Kekecewaan jelas dilihat dalam kalangan pemain yang ada antaranya melinangkan air mata.

Secara jujurnya, Peru bermain dengan baik. Tidak seperti pasukan bukan pilihan lain, Peru tidak terikat dengan corak permainan bertahan dan fizikal semata-mata, sebaliknya berani menampilkan strategi serangan dengan pendekatan ‘memegang bola’.

Pemain Peru sekurang-kurangnya boleh berasa bangga dengan keberkesanan pasukan memberi cabaran yang hebat dalam dua perlawanan dengan Denmark serta Perancis.

Sudah tentu mereka mahu membuktikan sesuatu dalam perlawanan akhir kumpulan menentang Australia nanti. Mungkin Peru tewas di atas padang, tetapi aksi mereka berjaya memenangi hati penonton neutral. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA




Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.