Header Ads

Hikmah Puasa !!Saat Terbaik Untuk Berhenti Merokok


http://newdwest.blogspot.com/2018/06/hikmah-puasa-saat-terbaik-untuk.html
Gambar Sekadar Hiasan

Detik terbaik henti rokok

Ramai perokok mencari-cari kaedah terbaik untuk berhenti merokok.

Ramadan dilihat sebagai peluang terbaik kepada perokok untuk cuba berhenti merokok kerana mereka akan bebas daripada rokok selama lebih kurang 14 jam ketika berpuasa sepanjang hari.

Ada dalam kalangan perokok sedar kesan negatif tabiat merokok yang memudaratkan diri sendiri mahupun ahli keluarga yang tinggal bersama.

Namun, cubaan berhenti merokok bukan mudah kerana kesan ketagihan nikotin amat ketara terutamanya pada peringkat awal percubaan untuk berhenti.

Rokok adalah produk tembakau. Terdapat lebih 4,000 bahan kimia dalam asap rokok.

Nikotin bahan kimia utama yang memberi ketagihan dalam rokok. Ia adalah sejenis bahan aktif merangsang otak dan menyebabkan ketagihan.

Antara bahan lain yang terdapat dalam rokok seperti tar, ammonia, arsenik, kadmium, karbon monoksida, formaldehid, metanol dan pelbagai lagi.

Apabila seseorang menghisap sebatang rokok, satu hingga dua miligram nikotin dibawa masuk ke dalam tubuh.

Sifat nikotin sungguh unik kerana boleh sampai terus ke otak dengan cepat melalui pertukaran gas di paru-paru ke dalam darah.

Nikotin akan mencetuskan beberapa tindak balas kimia dalam otak yang boleh menyebabkan rasa seronok.

Namun, rangsangan itu hanya seketika, apabila paras nikotin berkurangan dalam badan, perokok akan mula berasa tegang dan gelisah.

Bagi mengatasi masalah ini, perokok akan menyalakan rokok dan menghisapnya bagi mendapatkan nikotin dan mengekalkan keseronokan itu semula.

Bagaimanapun, melalui keberkatan Ramadan, hasil kajian mendapati 95 peratus perokok Muslim menyatakan bahawa mereka lebih mudah untuk berhenti merokok dalam bulan mulia ini.

Ia mungkin disebabkan faktor berpuasa selama hampir 14 jam sehari dan perokok berjaya mengawal diri daripada tabiat merokok.

Baki 10 jam lagi diisi dengan tidur (sekitar enam jam) dan aktiviti selepas berbuka dan beribadat seperti solat Tarawih di masjid (sekitar empat jam).

Ini bermakna perokok hanya perlu mengawal diri mereka supaya terus kekal bebas merokok untuk sekitar empat jam saja selepas berbuka.

Faktor ini membolehkan perokok meninggalkan rokok sepanjang Ramadan memandangkan masa untuk menghisap rokok terlalu singkat.

Tambahan pula, niat untuk merokok boleh dikawal dengan keazaman yang tinggi.

Namun, ada juga perokok yang gagal mengawal diri dan akan menghisap rokok selepas berbuka dan sebelum tidur.

Keadaan ini mungkin disebabkan amalan perokok yang terus merokok sebaik masuk waktu berbuka, pengaruh rakan perokok selepas solat Tarawih dan selepas bersahur.

Keazaman tinggi untuk berhenti merokok selepas berbuka, sebelum masuk tidur dan selepas bersahur adalah penting bagi memastikan seorang itu berjaya meninggalkan tabiat ini.

Niat baik untuk berhenti merokok ketika Ramadan perlu dikongsikan dengan orang terdekat. Sokongan mereka akan meningkatkan dan mengekalkan semangat perokok untuk terus kekal bebas rokok sepanjang Ramadan.

Antara tip boleh diamal jauhkan diri daripada bahan, perkara atau keadaan boleh mengingatkan diri kepada rokok. Contohnya buang semua baki rokok, bekas abu rokok dan pemetik api.

Perokok juga boleh amalkan tip 8M untuk membantu mereka dalam proses menahan diri daripada merokok:

• Melengah-lengahkan diri setiap kali teringat untuk merokok semula.

• Menarik nafas panjang setiap kali teringat untuk merokok.

• Minum segelas air setiap kali terfikir untuk merokok (bukan air bergula).

• Membuat sesuatu seperti melakukan ibadat solat Tarawih bagi mengalih perhatian daripada menghisap rokok.

• Mengunyah sesuatu seperti gula-gula getah supaya perhatian terhadap rokok dikurangkan.

• Membasahkan tangan supaya menghalang diri daripada memegang rokok. (perokok tidak memegang rokok dalam keadaan tangan yang basah).

• Melakukan senaman ringan.

• Memohon doa supaya dikuatkan azam untuk berubah kepada seseorang yang bebas rokok.

Perokok yang ingin terus kekal bebas rokok perlu terus memohon doa kepada Allah dikuatkan azam dan usaha mereka untuk berhenti merokok.

Seseorang itu perlu yakin Allah akan membantu mereka pada bulan yang penuh keampunan ini agar mampu mengatasi gejala ketagihan nikotin dan kesan penarikan.

Gejala penarikan yang mungkin dialami semasa berhenti merokok adalah seperti pening, batuk, gangguan tidur, gangguan tumpuan dan perasaan resah gelisah.

Gejala penarikan ini akan berkurangan dalam masa tiga hingga 14 hari selepas seseorang itu bebas daripada rokok.

Oleh itu, sokongan orang sekeliling memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan keazaman seseorang itu agar bertahan untuk terus tidak merokok.

Kesimpulannya, perokok digalakkan untuk mengambil peluang pada Ramadan yang penuh keberkatan dan keampunan ini untuk berubah menjadi individu yang berjaya berhenti merokok buat selamanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok. Orang awam boleh rujuk ke hospital atau klinik kesihatan berhampiran bagi mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan untuk berhenti merokok daripada profesional kesihatan yang terlatih.

Pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre) melalui talian 1800-88-6722, Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang.-HMETRO



Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.