Header Ads

Laporan polis TYT Sabah: 9 individu dirakam percakapan


http://newdwest.blogspot.com/2018/05/laporan-polis-tyt-sabah-9-individu.html

KOTA KINABALU: Polis Sabah sudah merakamkan percakapan sembilan individu berkaitan siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin kepada seorang pemimpin tinggi Barisan Nasional (BN) di negeri ini, minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, ketika dihubungi hari ini berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah.

"Buat masa ini rakaman percakapan giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya namun enggan mengulas lanjut.

Minggu lalu, Juhar membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin tertinggi BN Sabah, dipercayai ada kaitan dengan upacara angkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri oleh Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman, pada 10 Mei lalu.

Difahamkan, susulan laporan polis itu, pemimpin terbabit dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Rabu lalu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Pada 10 Mei lalu, Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di hadapan yang di-Pertua Negeri selepas BN bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memiliki 31 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, dua hari kemudian Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri apabila mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas enam ADUN BN menyokong beliau.

Susulan itu, pada Isnin lalu, pihak Istana menyerahkan surat pemberitahuan daripada Tun Juhar bahawa Musa bukan lagi Ketua Menteri.

Khamis lalu, Musa memfailkan saman terhadap Juhar dan Mohd Shafie menerusi firma guaman Messrs FT Ahmad & Co, bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang.-bharian

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.