Header Ads

Golongan Yang Dibenar Meninggalkan Puasa Dan Qada Serta Fidyah Harus Dilakukan Mereka

  • Golongan yang dibenar meninggalkan puasa:
  1. Orang yang hilang daya upaya untuk berpuasa seperti sakit perut dan sakit kepala yang serius serta jenis-jenis penyakit yang apabila berpuasa akan menambahkan keuzuran.
  1. Orang musafir dalam perjalanan yang membolehkan qasar (memendekkan raqaat) solat.
  1. Orang yang terlalu tua dan amat lemah untuk berpuasa.
  1. Orang yang tersangat lapar dan dahaga sehingga kalau diteruskan akan mendatangkan mudarat umpamanya ia bekerja berat di tengah panas atau sebagainya.
  1. Perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anaknya yang apabila berpuasa boleh memudaratkan diri sendiri atau anak yang disusui itu.
 Qada puasa: Orang yang qada puasa atau mengantikan puasa Ramadhan ini perlu mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan.
Orang yang wajib qada puasa:
  1. Orang sakit yang ada harapan sembuh
  1. Orang yang bermusafir (bukan kerana maksiat) melebihi dua marhalah
  1. Perempuan yang kedatangan haid dan nifas
  1. Orang yang meninggalkan niat puasa
  1. Orang yang sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa
  1. Orang yang pitam atau mabuk sewaktu bulan ramadhan
  1. Orang yang sangat lapar dan dahaga yang tidak membolehkannya berpuasa di bulan ramadhan.
Fidyah puasa: Fidyah puasa ialah amalan memberikan sedekah kepada fakir miskin dengan secupak beras bagi sehari berbuka puasa mengikut syarat-syaratnya.
Mereka yang dikenakan membayar fidyah puasa antaranya termasuklah:
  1. Mereka yang tidak dapat mengqada puasa sehingga masuk Ramadhan kali kedua (Fidyahnya satu cupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan di samping mengqada puasa) bagi setahun tertinggal. Kalau tidak diqada sehingga melampauai dua tahun maka dikenakan dua cupak tetapi puasa tetap juga satu hari (tiada tambahan).
  1. Orang sakit yang tiada harapan sembuh
  1. Orang yang terlalu tua yang tidak terdaya puasa
  1. Orang yang ada qada puasa tetapi meninggal dunia sebelum sempat berbuat demikian. (Fidyah dibuat oleh waris/kerabat si mati/arwah atau diambil daripada harta pusakanya)
  1. Perempuan yang mengandung dan perempuan yang menyusukan anaknya perlu mengqada puasa dan membayar fidyah secupak beras bagi setiap hari yang ditinggalkan sekiranya dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan anaknya, tetapi sekiranya dia takut mudarat kepada dirinya dia hanya wajib mengqada puasanya.KIFARAT BERSETUBUH DI BULAN RAMADHAN
Orang yang bersetubuh pada siang hari bulan Ramadhan, maka kedua-dua suami isteri tersebut perlu mengqada puasa berkenaan dan suami wajib membayar kifarah (denda) seperti:
  1. Memerdekakan seorang hamba Mukmin Lelaki atau Perempuan (sekiranya tidak mampu)
  1. Berpuasa dua bulan berturut-turut tanpa terputus (kalau tidak berdaya.
  1. Memberi makan kepada 60 Orang fakir/miskin
Bagaimanapun, jika persetubuhan itu dilakukan kerana terlupa, jahil tentang haramnya, atau dipaksa keatasnya tidaklah wajib kifarat.

 RUMUSAN    
Imam al-Ghazali  Ihya al-'Ulumuddin membahagikan puasa kepada tiga tingkat: (diambil dari buku Indahnya hidup bersyariat tulisan Dato Ismail Khamus)

Pertama : Puasa Umum (shaum al-'umum)
Puasa yang kebanyakan umat Islam yang sekadar mampu menghindarkan perut daripada makan, minum dan menahan keinginan untuk berjimak.

Kedua : Puasa Khusus (shaum al-khusus)
Puasa yang dapat memelihara mata, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada melakukan dosa selain menahan diri daripada makan, minum dan berjimak tadi.

Ketiga : Puasa Istimewa (shaum al-khawasi al-khawas)
Merangkumi tingkat puasa yang pertama dan kedua. Disempurnakan pula dengan puasa hati daripada semua keinginan lahir dan batin. Inilah puasa tertinggi kedudukannya di sisi Allah SWT dan merupakan amalan puasa para rasul, nabi, para sahabat, para wali dan golongan ahli ibadah lainnya.

Pembahagian yang dibuat oleh Imam al-Ghazali Rahimahullah ini seharusnya menjadi pedoman kepada muslim/muslimat pendengar perak fm dimana tingkat puasa kita sebenarnya. Jika ada kekurangan maka perbaiki lah.

Ingatlah, bahawa puasa adalah salah satu rukun Islam, maka dari itu wajiblah bagi kita untuk melaksanakan puasa dengan ikhlas tanpa paksaan dan mengharap imbalan dari orang lain. Jika kita berpuasa dengan niat agar mendapat imbalan atau pujian dari orang lain, maka puasa kita tidak ada artinya. Maksudnya ialah kita hanya mendapatkan rasa lapar dan haus dan tidak mendapat pahala dari apa yang telah kita kerjakan.

Puasa ini hukumnya wajib bagi seluruh umat Islam, sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kita. Berpuasalah sesuai dengan ketentuan-ketentuan yang telah dibuat oleh Allah SWT. Allah SWT telah memberikan kita banyak kemudahan (keringanan) untuk mengerjakan ibadah ini, jadi berpuasalah kita sesuai dengan ketentuan-ketentuan yang telah disebutkan tadi. Janganlah sesekali kita meninggalkan ibadah puasa, karena puasa ini mempunyai banyak nilai ibadah. Mulai dari langkah, tidur dan apapun pekerjaan orang yang berpuasa itu adalah ibadah.


Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.